Sunday, 17 January 2010 10:07

Tali Pinggang Keledar untuk Kanak-kanak

Written by  AZLINA BINTI ABDUL KARIM
Rate this item
(0 votes)

“Anak akak tak pakai tali pinggang keledar ke? kenapa akak tak pakaikan anak akak tali pinggang keledar? kan dah jadi macam ni!” Masih terngiang-ngiang di fikiran saya kejadian yang berlaku beberapa hari lepas. Jika nak diikutkan, kemalangan itu hanyalah kemalangan kecil. Tetapi, kecederaan yang dialami anak kakak tu agak serius. Nampak kaca-kaca kecil di bahagian mukanya yang berdarah.

Biasa kita melihat kemalangan yang kita anggap kecil, tapi memberikan impak yang besar kepada penumpangnya. Kenapa? Kerana biasanya, itu adalah disebabkan penumpang kereta tidak menggunakan tali pinggang keledar sewaktu dalam perjalanan. Dan, yang selalunya, mangsa kemalangan kecil ini adalah kanak-kanak. Ini kerana, kanak-kanak tidak mempunyai pegangan yang kuat, dan kurang cepat bertindak. Bila tidak memakai tali pinggang keledar sewaktu pemandu brek mengejut, kanak-kanak akan mudah tersembam kehadapan disebabkan hukum inersia.

Selalu kita tengok kanak-kanak yang dibiarkan berdiri di dalam kereta, kerana ibu bapa beranggapan, lebih mudah bagi kanak-kanak melihat keluar melalui cermin. Lebih membahayakan, kanak-kanak tersebut dibiarkan berdiri di bahagian tengah. Cuba bayangkan apa akan terjadi jika pemandu brek mengejut. Sudah tentu kanak-kanak itu akan melayang terus ke cermin hadapan.

Saya bukan menakut-nakutkan ibu bapa. Tetapi, masih ramai diantara kita yang mempunyai kurang kesedaran memasang tali pinggang keledar sekalipun kerajaan sudah menjalankan berbagai-bagai kempen memasang tali pinggang keledar. Selalunya, kita lebih takutkan disaman polis trafik kerana tidak memasang tali pinggang keledar berbanding memasang tali pinggang keledar atas sebab keselamatan.

Sering ibu bapa memberikan alasan, anak-anak rimas apabila dipasangkan tali pinggang keledar, atau anak-anak bosan tidak dapat melihat ke luar kereta. Sebenarnya, ada cara-cara untuk kita biasakan anak-anak memasang tali pinggang keledar.

a) Ibu bapa perlu terlebih dahulu memakai tali pinggang keledar setiap kali menaiki kereta. Anak-anak akan mencontohi ibu bapanya. Sekiranya ibu atau bapa memandang remeh pemasangan tali pinggang keledar, anak-anak juga akan memandang remeh. Jadi, tidaklah timbul soal “ibu tak pasang pun.. adik pun tak nak pasang!”

b) Biasakan memasang tali pinggang keledar anak-anak bermula dari bayi. Untuk ini, ibu bapa harus menggunakan kerusi kereta bayi yang bersesuaian. Jika boleh, mulakan seawal ketika membawa bayi keluar dari hospital selepas kelahiran. Jika kanak-kanak yang lebih besar, boleh gunakan booster.

c) Terangkan kepada anak-anak setiap kali mahu memasangkan tali pinggang keledar. Katakan kepadanya, “adik kena pasang tali pinggang keledar ni, tidaklah adik tercampak kalau papa brek mengejut nanti” dan apa-apa juga penerangan yang sesuai. Biar terangkan berulang kali, supaya anak-anak tidak akan protes bila dipasangkan tali pinggang keledar. Kalau lagi rajin, terangkan sahaja hukum inersia.. :P

d) Bawa mainan atau buku kegemaran supaya kanak-kanak tidak bosan. Boleh juga letakkan kanak-kanak di bahagian tengah kereta supaya dia dapat memandang ke arah cermin hadapan. Pasangkan juga lagu kegemaran kanak-kanak supaya dia berasa gembira sepanjang perjalanan. Sekiranya masih bosan, ibu bolehlah bermain permainan ringkas untuk menghilangkan kebosanan kanak-kanak. Dan, mungkin juga kanak-kanak takut dalam perjalanan di waktu malam, jadi ibu boleh temankan kanak-kanak di belakang.

Tiada alasan untuk kita meremehkan pemasangan tali pinggang keledar untuk kanak-kanak ini. Mahukah kita melihat anak-anak kita menangis kesakitan akibat kecuaian kita sendiri? Biar mereka menangis apabila dipasang tali pinggang keledar daripada mereka menangis menanggung kesakitan…

Last modified on Monday, 18 January 2010 16:06

Latest from AZLINA BINTI ABDUL KARIM

You are here