Friday, 05 June 2009 10:18

Car Seat Bayi

Written by  Ratuhati.com
Rate this item
(0 votes)

Car seat bayi“Kak Ngah... Kak Ngah... baru ada sorang anak... tak taulah macam mana bila dah ada 3-4 orang anak nanti…” Mak Ngah membebel bila tengok aku masukkan Darwisy dalam car seat sewaktu mahu pulang ke rumah selepas berkunjung ke rumah dia setahun yang lepas. Bukan Mak Ngah sahaja yang menggelengkan kepala, ramai lagi orang yang hairan dan memandang serong pada aku bila aku meletakkan Darwisy dalam car seat.

Kenapa? Aku pun hairan... Mereka beranggapan meletakkan anak dalam car seat menandakan aku malas nak pegang atau riba anak aku sepanjang perjalanan... mungkin... Malas itu, tidaklah... Tapi memudahkan, Ya! Aku rasa car seat bayi memang memudahkan kami memandu. Tapi itu bukan sebab utama kami menggunakannya. Aku dan papa beria-ia membelikan car seat untuk Darwisy kerana ini sebagai usaha kami menjaga keselamatan darwisy. Sudah banyak kita baca dalam akhbar, bayi yang tercampak keluar dari pangkuan ibunya sewaktu kemalangan. Dengan adanya car seat, sekurang-kurangnya, aku dapat mengurangkan risiko seandainya sesuatu yang buruk berlaku. Sedangkan aku sendiri, papa akan bising sekiranya aku malas mengenakan seat belt. Ini pula Darwisy yang masih kecil.

Selain daripada sebab keselamatan, ianya memudahkan aku membawa darwisy ke mana-mana tanpa papa. Sebab tu aku selalu bawa Darwisy untuk aktiviti di sekolah. Mudah. Ya lah, papa selalu sibuk dengan aktiviti dia sendiri, jadi aku lah yang kena mengusung Darwisy ke mana sahaja… :P

Aku sangat risau dan marah bila tengok dalam kereta orang, yang anak-anaknya bersuka ria di tempat duduk belakang tanpa memakai seatbelt. Apa lagi kalau kanak-kanak tu berdiri di tengah-tengah. Bahaya sungguh. Kita tak tahu bila boleh berlaku kecemasan. Bila-bila sahaja boleh jadi. Walaupun kita sekadar memandu dalam jarak 100 meter. Sayangkan nyawa anak-anak anda. Biarlah mereka menangis kerana terpaksa pakai seatbelt. Jangan mereka menangis kerana menanggung kesakitan. Usahalah untuk keselamatan. Kalau dah usaha, tapi jadi juga, itu lain cerita… kuasa Allah, kita hanya mampu berusaha dan merancang, selebihnya Allah yang menentukan…

Ada banyak cara untuk mengelakkan anak menangis atau bosan duduk dalam car seat. Kalau bayi 0-1 tahun, boleh berikan mainan supaya dia tidak bosan. Ketika kami pulang ke kampung atau berjalan jauh waktu darwisy masih bayi, kami akan membawa beberapa mainan kegemaran dia untuk dia main atau lontar sewaktu dalam perjalanan. Kalau anak tatih atau toddler 1-3 tahun, boleh pasangkan lagu kegemaran dia. Darwisy sangat suka dengar zikir atau mengaji. Jadi, sepanjang perjalanan kami pastikan kami membawa CD kegemarannya.. Pasangkan, diamlah dia... :) Untuk kanak-kanak dalam 3-4 tahun, mungkin boleh bagi buku yang menarik. Cubalah...

Tapi, jangan pula fikir, bila dah ada carseat, kita boleh bawa kereta laju selaju-lajunya. Malang tak berbau. Tak semestinya ada carseat, kemalangan tak boleh berlaku terhadap bayi. Ada banyak sebab yang perlu diperhatikan. Contohnya, pegangan seatbelt pada carseat, kedudukan carseat, seatbelt untuk bayi, dan sebagainya.

Ini sedikit panduan untuk ibu-ibu menggunakan carseat:

1. Bayi baru lahir hingga umur hampir 1 tahun, berat sehingga 9 kg, tidak berupaya menyokong kepalanya dengan betul

  • Kerusi menghadap ke belakang
  • Mesti dipasang di tempat duduk belakang dengan tali pinggang keledar

2. Bayi berumur 9 bulan hingga hampir 4 tahun, berat di antara 9 hingga 18kg

  • Kerusi menghadap ke hadapan
  • Mesti dipasang di tempat duduk belakang dengan tali pinggang keledar

dan juga, jangan sesekali mengubahsuai carseat anda.

Aku tak memaksa sesiapa pun untuk membeli/menggunakan carseat. Terpulang apa sahaja cara anda untuk meningkatkan tahap keselamatan anak-anak sewaktu dalam kereta. Yang penting, lakukan apa sahaja untuk keselamatan anak-anak dan keluarga kita… berusaha, dan bertawakal...

{cbavatar}sya{/cbavatar}

{xtypo_info}Nukilan: sya di syayassir.wordpress.com{/xtypo_info}

Last modified on Wednesday, 29 July 2009 16:45
You are here