Monday, 15 June 2009 02:52

Sembilan Cara Menghukum Budak Jahat Dan Pembuli Pada Zaman Abdullah Munsyi

Written by  Ratuhati.com
Rate this item
(0 votes)

Jika anda lahir di zaman saya (1970-an), anda mungkin biasa mendengar hukuman ketuk ketampi. Tetapi pernahkah anda dengar apit cina, kayu palat atau tonggeng asap? Mari lihat bagaimana guru-guru dan ibu bapa zaman dahulu mendisiplinkan anak mereka.

Sila tinggalkan pendapat anda di akhir artikel.
Adakah hukuman begini boleh mengajar anak-anak zaman sekarang?

Sembilan Cara Menghukum Budak Jahat Dan Pembuli Pada Zaman Abdullah Munsyi

oleh: Prof. Emeritus Abdullah Hassan, Pengarah, Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjung Malim, MALAYSIA.


Dikutip daripada Hikayat Abdullah, 1849.

Pada pagi selasa lalu kami diberi tahu ada seorang guru pelatih ditampar oleh bapa seorang murid yang dikasarinya.

Kita tidak dapat memandang sepi pada perbuatan guru pelatih kita. Guru itu mesti ‘diajar‘ cara yang betul mendisiplinkan murid. Ada cara yang boleh diterima dan ada yang tidak.

Tindakan bapa menampar guru pelatih itu adalah satu perkara lain. Itu jenayah yang seharusnya dilaporkan kepada polis. Tidak ada orang yang diberi kebebasan menghukum orang lain menurut kehendaknya sendiri. Kita ada undang-undang.

Sebuah tinjauan dibuat terhadap Hikayat Abdullah, melihat kuasa guru mendisiplinkan murid pada generasi silam.

Betapa nilai dan amalan berubah. 150 tahun lalu, pada zaman Munsyi Abdullah, guru mendisplinkan murid. Ibu bapa menyokong. Pada hari ini, bapa menampar guru yang cuba mendisiplinkan murid.

Berikut adalah hukuman yang diberi oleh guru kepada budak-budak jahat. Butir-butir ini didapati dalam Hikayat Abdullah.

Betapa nilai sudah berubah.

Aku pun teruslah belajar dan berusaha. Dengan izin Allah dan azamku untuk mendapatkan ilmu, aku dapat mengaji dan menulis sendiri. Pembelajaranku tidak sama seperti kanak-kanak lain, yang dituliskan oleh gurunya pada papan loh mereka. Pada zaman itu orang tidak mempedulikan kemahiran menulis. Keutamaan hanya kepada kebolehan membaca al-Quran sahaja. Jika sejak kecil tidak dibiasakan menulis, tidak mungkin mereka dapat menulis dengan betul apabila tua kelak. Manusia itu umpama ranting kayu. Ketika muda kita dapat melenturnya kerana masih lembut. Apabila sudah tua dan kering, lentur sedikit sahaja ia mudah patah.

Aku belajar dengan bapaku, nenekku, dan kedua saudara bapaku seibu, iaitu Ismail Lebai dan Muhammad Latif. Aku memandang mereka seperti melihat harimau. Yang lebih kutakuti ialah Muhammad Latif. Dialah yang banyak memukul sewaktu aku belajar mengaji dan menulis. Sewaktu mereka mula mengajar aku menulis, digoreskan sahaja dengan kalam tanpa dakwat di atas papan loh. Di atasnya aku menulis dengan dakwat untuk membiasakan tanganku menulis. Kemudian dapatlah aku merangkaikan huruf seperti yang sepatutnya, dan hasil tulisan tanganku pun agak baik.

Apabila dilihat oleh nenekku aku boleh membaca dan menulis, aku dilantik menjadi ketua semua kanak-kanak yang sebaya denganku. Tugasku ialah mendengar bacaan, mengajar, dan menuliskan pada papan loh mereka. Setiap hari, siang dan malam, aku terus belajar. Setiap perkataan yang disebutkan orang, aku boleh mengeja dan menuliskannya. Budak-budak yang meminta aku menulis pada papan loh mereka memberi aku upah. Ada yang memberi seduit, penganan, buah-buahan, dan sebagainya.

Pada ketika itu, aku sudah mendapat faedah daripada ilmu. Di tempat pengajian itu, tiada seorang pun yang berani membantah cakapku kerana aku menjadi guru mereka mengaji dan menulis. Semua yang dibaca dan ditulis itu dalam bahasa Arab kerana sejak zaman nenek moyangku belum pernah diajar ilmu bahasa Melayu.

Di tempat pengajian itu, terdapat pelbagai alat untuk menghukum dan menyeksa mereka yang melakukan kesalahan.

1. Rotan dan Apit cina
Rotan dan apit cina itu diperbuat daripada rotan saga, empat keping, dan panjangnya sejengkal. Cocok sebelah hujungnya dimatikan, dan yang sebelah lagi diberi tali panjang. Budak-budak yang mencuri ataupun memukul kawan-kawannya akan dihukum dengan menggunakan apit cina, iaitu mengapitkan jari-jari mereka.

Hukuman pertama: Apit Cina untuk budak yang suka mencuri dan memukul kawan

Hukuman pertama: Apit Cina untuk budak yang suka mencuri dan memukul kawan

2. Kayu Palat
Kayu palat itu adalah satu kayu bulat, panjangnya kira-kira sebelah dada, ditebuk tiga lubang, dua punca di kiri dan kanannya dimatikan, dan dimasukkan tali pada lubang tengahnya. Kayu palat digunakan untuk menghukum budak-budak yang tidak datang mengaji, memanjat pokok, ataupun menendang kawan-kawannya. Cara hukuman itu adalah, dimasukkan dua belah kakinya ke dalam tali itu, diputar ke atas, kemudian disesah tapak kakinya.

Hukuman kedua: Kayu palat untuk budak suka tuang, suka memanjat pokok, dan suka membuli kawan dengan menendang

Hukuman kedua: Kayu palat untuk budak suka tuang, suka memanjat pokok, dan suka membuli kawan dengan menendang

3. Rantai Besi
Rantai besi itu panjangnya kira-kira sedepa ataupun lebih. Dipakukan rantai itu pada satu kepala balak, yang sebelah lagi diberi berkunci. Ia digunakan untuk menghukum budak-budak yang jarang datang mengaji, selalu berkelahi ataupun tidak mahu mendengar kata ibu bapanya, dan lambat belajar. Caranya, dikuncikan rantai di punggungnya, dan dia disuruh memikul kayu itu berkeliling tempat mengaji. Ada kalanya pula, dia ditinggalkan dengan rantai tidak dibenarkan pulang sehingga dihantar nasi ke situ.

Hukuman ketiga: Rantai besi untuk budak suka tuang, bantah, suka berkelahi dan lambat belajar

Hukuman ketiga: Rantai besi untuk budak suka tuang, bantah, suka berkelahi dan lambat belajar

4. Buat Singgang
Singgang itu adalah hukumn bagi budak-budak yang membantah dan jahat. Caranya, disuruh dia memegang tangan kiri ke telinga kanan dan tangan kanan ke telinga kiri, kemudian bangun duduk tiada berhenti.

Hukuman keempat: Budak bantah dan jahat disinggang

Hukuman keempat: Budak bantah dan jahat disinggang

5. Tonggeng Asap
Ini adalah hukuman kepada budak-budak yang malas mengaji dan sebagainya. Caranya, diasapkan sabut kering banyak-banyak kemudian di-tonggengkan budak itu di atas asap. Ada pula yang membubuh lada cina kering dalam sabut tersebut. Pedih asap itu menyebabkan keluar air mata dan air hidung.

6. Ikat Pada Tiang
Budak-budak yang melakukan kesalahan di tempat mengaji diikat pada tiang. Caranya, satu tali pintal digunakan untuk mengikat pinggang budak itu kepada tiang. Disuruhnya budak itu mengaji papan lohnya sampai dapat, sebelum dapat, tidak dilepaskan. Ibu bapanya akan menghantar nasi ke situ.

7. Gantung Tiada Berjejak
Hukuman kepada budak-budak yang sangat jahat, kuat melawan, tidak datang mengaji, dan mencuri. Caranya, digantung kedua-dua belah tangannya dan tiada berjejak kakinya.

Hukuman ketujuh: Budak sangat jahat, kuat melawan, tuang dan mencuri

Hukuman ketujuh: Budak sangat jahat, kuat melawan, tuang dan mencuri

8. Pukul Punggung
Hukuman ini diberi kepada budak-budak yang sangat jahat dan tidak datang mengaji. Caranya, budak itu ditiarapkan dan dipukul punggungnya.

9. Gosok Mulut Dengan Lada Cina
Hukuman kepada budak-budak yang suka berbohong dan memaki orang sdslsh dengsn digosokkan lada cina ke mulutnya.

Segala hukuman tersebut boleh dilakukan oleh gurunya di tempat mengaji. Jika anak raja ataupun anak orang kaya melakukan kesalahan, dia boleh dipukul oleh gurunya di tempat mengaji. Walaupun sampai berdarah, guru itu tidak boleh didakwa kerana tujuannya baik, iaitu untuk mengajar.

Last modified on Wednesday, 17 June 2009 23:23
You are here